Laskar Pelangi
Ini komen yang saya berikan sebaik tamat membaca novel ini. Sememangnya tidak rugi kami singgah ke Toko Gunung Agung di Matahari, yang tiba-tiba menarik hati saya untuk membeli novel ini. Novel yang saya baca ini adalah dalam versi bahasa Indonesia. Walaupun ada sedikit perbezaan, namun saya masih berupaya memahami setiap ayat dan menghayati kisah-kisah dalam novel ini.
Novel ini bercerita tentang kisah kehidupan dan kemiskinan sebahagian besar penduduk di Pulau Belitong. Sebahagian besarnya mengenai kecekalan anak-anak miskin di Belitong yang berjuang untuk memastikan mereka tidak mewarisi kemiskinan keluarga melalui jalan pendidikan. Penceritaan yang sangat jujur, gaya bahasa yang bersahaja tapi amat mempesonakan. Gaya penceritaan Andrea Hirata amat terperinci. Beliau bagaikan mempersembahkan satu visual yang sebenarnya diolah dari kata-kata. Hanya dengan membaca, saya bagaikan berada dalam lingkungan kehidupan anggota Laskar Pelangi. Jika bercerita tentang pohon filicium yang banyak merakam peristiwa pahit manis murid-murid SD Muhammadiyah, saya bagai dapat melihat pohon tersebut dan suasana redupnya di depan mata.
Lintang Samudera Basara, saya melihat Lintang merupakan tonggak utama Laskar Pelangi. Kecerdasan dan semangatnya menguasai fizik, sains, matematik, bahasa Inggeris malah sirah dan pendidikan agama sangat luar biasa. Beliau membawa pengaruh yang kuat kepada sahabat-sahabatnya untuk sama-sama percaya kebolehan diri dalam menguasai ilmu yang kelihatan amat sukar. Bagaimana pun, kesungguhan, minat dan semangat kuat Lintang menguasai pendidikan tidak berupaya melawan faktor takdir dan nasib yang menyaksikan akhirnya seorang remaja genius berakhir sebagai buruh kasar di Belitong.
Mahar – Anggota Laskar Pelangi yang penuh dengan misterius seninya. Mahar juga taksub pada perkara mistik dan ini juga yang mengikat persahabatan eratnya dengan Floriana, anak orang kaya di Belitong. Flo sanggup bertukar dari sekolah pendidikan nasional yang rata-rata muridnya terdiri dari anak-anak orang kaya kepada SD Muhammadiyah, sebuah sekolah yang sangat daif tapi punya murid yang penuh semangat, semata-mata untuk berdamping dengan Mahar dan berkongsi minat luar biasa mereka. Pertemuan Flo dan Mahar dengan Tok Bayan Tula menamatkan pencarian misteri mereka.
Ikal, anggota Laskar Pelangi yang berambut ikal, penulis dalam cerita ini, merupakan sahabat rapat Lintang dan Mahar. Beliau merakamkan kisah kehidupan masyarakat miskin dan sahabat-sahabatnya sekumpulan kecil anak-anak miskin di Belitong yang berjuang untuk melawan kemiskinan dengan menguasai ilmu. Ikal juga bercerita tentang bagaimana dia menghadapi kehilangan cinta pertamanya. Pedih dan sepi.
Harun – Kurang sempurna dari segi pemikiran. Harun saban tahun naik ke darjah seterusnya hanya disebabkan beliau mendapat pengecualian khas. Namun tiada siapa dapat menyangkal bahawa beliau merupakan anggota Laskar Pelangi yang memainkan peranan paling penting dalam memastikan sahabat-sahabatnya dapat memulakan darjah pertama di SD Muhammadiyah. SD Muhammadiyah pada tahun itu dapat diteruskan oleh Pak Harfan dengan adanya Harun yang mencukupkan kuota 10 orang murid.
Borek/ Samson – Remaja tampan yang taksub menjadikan tubuhnya perkasa, malah menyebabkan Ikal pernah digelar ibunya sebagai penghidap penyakit gila nombor 5!
Trapani – Cerdas, tampan, menjadi idaman gadis-gadis di Belitong. Sangat menyayangi ibunya sehingga kasih sayang yang teramat dalam itu telah memakan diri, lantas merosakkan hidupnya dan hidup ibunya sendiri.
A Kiong – Anak Tionghua yang bersifat lurus, akhirnya memilih untuk menjadi pengganut Islam. A Kiong sering bertingkah dengan Sahara, selama bertahun-tahun mereka menjadi rakan sedarjah namun cinta menamatkan perseteruan mereka berdua. Cinta yang terpendam bertahun-tahun lamanya.
Syahdan – Jika di SD Muhammadiyah, pencapaian beliau ditahap biasa sahaja. Tidak ada kebolehan istimewa terlihat pada dirinya sehingga beliau tidak menonjol di kalangan anggota Laskar Pelangi yang lainnya. Bagaimana pun, kesungguhan untuk mencapai impian, sikap tidak kenal putus asa akhirnya menjadikan beliau sebagai salah seorang anggota Laskar Pelangi yang punya pendidikan tertinggi.
Kucai – Pernah memprotes perlantikan jawatannya sebagai ketua darjah kepada Bu Mus, kerana merasakan tanggungjawab seorang pemimpin sangat besar. Namun, akhirnya Kucai akur pada sistem demokrasi, dan beliau memegang jawatan sebagai ketua darjah selama sembilan tahun. Inilah yang membina potensi Kucai sebagai pemimpin.
Saya menitiskan air mata membaca beberapa bahagian dalam novel ini sangat menyentuh hati, kisah murid-murid Muhammadiyah yang sangat miskin tapi penuh semangat perjuangan, Bu Mus dan Pak Harfan yang sangat cekal mendidik murid-murid yang miskin itu. Saya terpesona dengan kebolehan Lintang menjawab soalan-soalan semasa kuiz antara sekolah diadakan. Saya ketawa membayangkan eksperimentasi seni oleh Mahar semasa pertandingan persembahan seni antara sekolah diadakan. Murid-murid SD Muhammadiyah memang punya bakat luar biasa. Saya kagum dengan kecerdasan dan daya pemikiran Lintang, kreativiti seni Mahar dan eratnya ikatan persahabatan anggota Laskar Pelangi. Tambah kagum dengan Bu Muslimah dan Pak Harfan yang gigih dan ikhlas berkhidmat untuk anak-anak penduduk miskin Pulau Belitong. Laskar pelangi - novel yang penuh motivasi.
