blank!!

Tuesday, November 04, 2008

Kisah Buku: Travelog Dakwah

Saya menjadi antara 100 pembaca pertama buku ini. Panas-panas dari kilang. Apabila dinyatakan oleh penulisnya yang pesanan boleh dibuat sebaik bukunya siap dicetak, saya terus menghantar email untuk membuat pesanan. Email itu dibalas dalam masa kurang 5 minit. Wah…saya sangka tentu orang sesibuk itu tak ada masa untuk membalas email, tapi ternyata Prof Muhd Kamil sedaya upaya membalas email pesanan dan buku ini selamat diterima minggu lepas.

Saya sudah pun habis membaca buku ini sepanjang hujung minggu lepas. Saya telah membaca Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman (THMSI) pada awal tahun ini dan bagi saya Travelog Dakwah: Meniti Hari Esok (TDMHE) ini adalah kesinambungan dari THMSI. Pembaca TDMHE yang belum membaca THMSI rasanya akan berusaha untuk mendapatkan kedua-dua buku ini kerana sebahagian kisah dalam TDMHE ini pernah diceritakan dalam THMSI. Lebih puas jika membaca THMSI dahulu, dan diikuti Travelog Dakwah: Meniti Hari Esok.

Sesuatu yang pernah disebut dalam THMSI, amat-amat ditekankan kali ini oleh penulisnya, iaitu berkenaan doa. Doa yang dinyatakan dalam pelbagai bentuk sebagai pernyataan dan pengharapan seorang hamba kepada Tuhannya. Permintaan, pernyataan syukur dan segala bentuk pengaduan yang diluahkan kepada Dia yang Maha Mendengar. Dalam beberapa bahagian buku ini, perihal doa dikisahkan secara spesifik. Hampir setiap bahagian dalam buku ini dikaitkan dengan doa. Dalam THMSI, penulisnya menulis tentang doa beliau yang dipanjatkan kepadaNya secara berterusan manakala dalam TDMHE, ada bab ditulis khusus dengan tajuk ‘Doa’ dan ‘Berdoalah Sekiranya Dapat’.

Ada beberapa bahagian buku ini yang meninggalkan kesan kepada diri saya, antaranya ‘Reda’; menyedarkan bahawa setelah berusaha sehabis baik, kita harus redha dengan sebarang keputusan, pengakhiran dan sesuatu yang ditakdirkan. ‘Menyaksikan Kematian’ antara bahagian dalam buku ini yang mengharukan manakala ‘Imam Tarawih’ pula menceritakan sesuatu yang diluar dari fikiran saya yang biasa.

Secara tidak langsung saya mendapat motivasi, mungkin kerana ikhlasnya beliau menulis dan bercerita. Saya berdoa semoga penulis buku ini mendapat rahmat dan keberkatanNya, disayang Allah; sepertimana kata-kata yang ditulis beliau pada helaian pertama muka surat buku ini, kepada pembaca seperti saya yang tidak pun dikenalinya.