Tunggu Teduh Dulu

Assalammualaikum. Kali ni saya nak bercerita tentang buku ini, yang telah berada dalam genggaman saya sejak tahun 2006 lagi. Saya jujur mengakui yang buku ini ialah karya FT yang paling dekat dengan jiwa saya setakat ini. Sentiasa berada di bahagian kepala katil, supaya senang saya mencapainya. Saya bawa dan baca semasa makan, juga baca sebelum tidur. Saya telah membaca buku-buku FT yang lain, tetapi tulisan yang ini sangat terasa kesannya pada jiwa saya.
Ada beberapa bahagian dalam buku ini yang menceritakan kisah cinta tiga segi antara Kamil-Salsabila-Lam, juga bagaimana Teh Sofia yang berusaha untuk mendapatkan Kamil, dan Sazli yang meluah cinta kepada Salsabila. Pada saya, kisah cinta ini biasa saja kerana saya sememangnya jarang membaca novel cinta. Apa yang menarik ialah kesungguhan dua sahabat, Salsabila dan Teh Sofia yang bekerja kuat membangunkan ladang, dengan menempuh pelbagai rintangan. Usaha Teh Sofia untuk mendapatkan Kamil dari Salsabila tidak berjaya lantas menyebabkannya membawa diri jauh ke luar negara. Salsabila bertungkus lumus meneruskan perjuangan. Pada masa sama, ibu tirinya mengalami masalah kesihatan, juga terpaksa menghadapi karenah adik tiri. Salsabila menghadapi dilema bila Saifullah(Lam) kembali dan menuntut cinta darinya sedangkan Kamil juga menuntut jawapan darinya.
Saya paling suka membaca bahagian di mana Salsabila dan ibu tirinya menunaikan umrah, dan bagaimana dia manghadapi kematian ibunya di Mekah, dan bagaimana kuasa Allah telah menemukannya semula dengan Sazli yang sebelum itu telah melanjutkan pelajarannya ke Jerman. Kebesaran Allah memang tidak dapat dijangka, dan dia yang bertemu kembali dengan bekas pekerja ladangnya itu mendapat petunjuk bahawa Sazli adalah pilihan terbaik yang akan menjadi pemimpin hidupnya dan mereka melangsungkan pernikahan di kota Mekah. Sungguhlah Allah yang berkuasa dan menjadi pemilik hati sekalian manusia telah membalikkan hati manusia.
Salsabila meneruskan kehidupan, dengan pelbagai masalah di ladang, masalah keluarga dan adik tiri yang keluar dari pusat serenti. Ladang tanah peninggalan arwah bapanya diambil kerajaan, dan kenangan masa kecilnya bersama Kamil dan Lam di puncak bukit juga lenyap. Tiada putus asa, kerana mereka percaya Allah selalu punya rahsia dan rencana yang tidak tercapai akal manusia untuk mentafsirkannya. Mereka percaya melepaskan sesuatu yang baik, Allah akan menjanjikan sesuatu yang lebih baik. Ladang dibuka di kawasan lain, dengan beberapa cawangan dibeberapa negara. Salsabila terpaksa mengecewakan Kamil dan Lam, tetapi bahagia dengan Sazli yang beberapa tahun lebih muda darinya. Mendapat anak kembar pula, pada pengakhiran novel ini.
Saya tidak dapat menafikan ayat-ayat berkaitan motivasi diri dan keagamaan yang diselitkan FT di dalam buku ini sangat memberi inspirasi dan motivasi kepada diri saya. Inilah yang menyebabkan novel ini sangat dekat di hati saya.
"Kerja Tuhan siapa tahu?"
