Friday, July 31, 2009
Monday, May 25, 2009
Laskar Pelangi
Ini komen yang saya berikan sebaik tamat membaca novel ini. Sememangnya tidak rugi kami singgah ke Toko Gunung Agung di Matahari, yang tiba-tiba menarik hati saya untuk membeli novel ini. Novel yang saya baca ini adalah dalam versi bahasa Indonesia. Walaupun ada sedikit perbezaan, namun saya masih berupaya memahami setiap ayat dan menghayati kisah-kisah dalam novel ini.
Novel ini bercerita tentang kisah kehidupan dan kemiskinan sebahagian besar penduduk di Pulau Belitong. Sebahagian besarnya mengenai kecekalan anak-anak miskin di Belitong yang berjuang untuk memastikan mereka tidak mewarisi kemiskinan keluarga melalui jalan pendidikan. Penceritaan yang sangat jujur, gaya bahasa yang bersahaja tapi amat mempesonakan. Gaya penceritaan Andrea Hirata amat terperinci. Beliau bagaikan mempersembahkan satu visual yang sebenarnya diolah dari kata-kata. Hanya dengan membaca, saya bagaikan berada dalam lingkungan kehidupan anggota Laskar Pelangi. Jika bercerita tentang pohon filicium yang banyak merakam peristiwa pahit manis murid-murid SD Muhammadiyah, saya bagai dapat melihat pohon tersebut dan suasana redupnya di depan mata.
Lintang Samudera Basara, saya melihat Lintang merupakan tonggak utama Laskar Pelangi. Kecerdasan dan semangatnya menguasai fizik, sains, matematik, bahasa Inggeris malah sirah dan pendidikan agama sangat luar biasa. Beliau membawa pengaruh yang kuat kepada sahabat-sahabatnya untuk sama-sama percaya kebolehan diri dalam menguasai ilmu yang kelihatan amat sukar. Bagaimana pun, kesungguhan, minat dan semangat kuat Lintang menguasai pendidikan tidak berupaya melawan faktor takdir dan nasib yang menyaksikan akhirnya seorang remaja genius berakhir sebagai buruh kasar di Belitong.
Mahar – Anggota Laskar Pelangi yang penuh dengan misterius seninya. Mahar juga taksub pada perkara mistik dan ini juga yang mengikat persahabatan eratnya dengan Floriana, anak orang kaya di Belitong. Flo sanggup bertukar dari sekolah pendidikan nasional yang rata-rata muridnya terdiri dari anak-anak orang kaya kepada SD Muhammadiyah, sebuah sekolah yang sangat daif tapi punya murid yang penuh semangat, semata-mata untuk berdamping dengan Mahar dan berkongsi minat luar biasa mereka. Pertemuan Flo dan Mahar dengan Tok Bayan Tula menamatkan pencarian misteri mereka.
Ikal, anggota Laskar Pelangi yang berambut ikal, penulis dalam cerita ini, merupakan sahabat rapat Lintang dan Mahar. Beliau merakamkan kisah kehidupan masyarakat miskin dan sahabat-sahabatnya sekumpulan kecil anak-anak miskin di Belitong yang berjuang untuk melawan kemiskinan dengan menguasai ilmu. Ikal juga bercerita tentang bagaimana dia menghadapi kehilangan cinta pertamanya. Pedih dan sepi.
Harun – Kurang sempurna dari segi pemikiran. Harun saban tahun naik ke darjah seterusnya hanya disebabkan beliau mendapat pengecualian khas. Namun tiada siapa dapat menyangkal bahawa beliau merupakan anggota Laskar Pelangi yang memainkan peranan paling penting dalam memastikan sahabat-sahabatnya dapat memulakan darjah pertama di SD Muhammadiyah. SD Muhammadiyah pada tahun itu dapat diteruskan oleh Pak Harfan dengan adanya Harun yang mencukupkan kuota 10 orang murid.
Borek/ Samson – Remaja tampan yang taksub menjadikan tubuhnya perkasa, malah menyebabkan Ikal pernah digelar ibunya sebagai penghidap penyakit gila nombor 5!
Trapani – Cerdas, tampan, menjadi idaman gadis-gadis di Belitong. Sangat menyayangi ibunya sehingga kasih sayang yang teramat dalam itu telah memakan diri, lantas merosakkan hidupnya dan hidup ibunya sendiri.
A Kiong – Anak Tionghua yang bersifat lurus, akhirnya memilih untuk menjadi pengganut Islam. A Kiong sering bertingkah dengan Sahara, selama bertahun-tahun mereka menjadi rakan sedarjah namun cinta menamatkan perseteruan mereka berdua. Cinta yang terpendam bertahun-tahun lamanya.
Syahdan – Jika di SD Muhammadiyah, pencapaian beliau ditahap biasa sahaja. Tidak ada kebolehan istimewa terlihat pada dirinya sehingga beliau tidak menonjol di kalangan anggota Laskar Pelangi yang lainnya. Bagaimana pun, kesungguhan untuk mencapai impian, sikap tidak kenal putus asa akhirnya menjadikan beliau sebagai salah seorang anggota Laskar Pelangi yang punya pendidikan tertinggi.
Kucai – Pernah memprotes perlantikan jawatannya sebagai ketua darjah kepada Bu Mus, kerana merasakan tanggungjawab seorang pemimpin sangat besar. Namun, akhirnya Kucai akur pada sistem demokrasi, dan beliau memegang jawatan sebagai ketua darjah selama sembilan tahun. Inilah yang membina potensi Kucai sebagai pemimpin.
Saya menitiskan air mata membaca beberapa bahagian dalam novel ini sangat menyentuh hati, kisah murid-murid Muhammadiyah yang sangat miskin tapi penuh semangat perjuangan, Bu Mus dan Pak Harfan yang sangat cekal mendidik murid-murid yang miskin itu. Saya terpesona dengan kebolehan Lintang menjawab soalan-soalan semasa kuiz antara sekolah diadakan. Saya ketawa membayangkan eksperimentasi seni oleh Mahar semasa pertandingan persembahan seni antara sekolah diadakan. Murid-murid SD Muhammadiyah memang punya bakat luar biasa. Saya kagum dengan kecerdasan dan daya pemikiran Lintang, kreativiti seni Mahar dan eratnya ikatan persahabatan anggota Laskar Pelangi. Tambah kagum dengan Bu Muslimah dan Pak Harfan yang gigih dan ikhlas berkhidmat untuk anak-anak penduduk miskin Pulau Belitong. Laskar pelangi - novel yang penuh motivasi.
Monday, November 17, 2008
RM 2 saja
Tuesday, November 04, 2008
Kisah Buku: Travelog Dakwah
Saya menjadi antara 100 pembaca pertama buku ini. Panas-panas dari kilang. Apabila dinyatakan oleh penulisnya yang pesanan boleh dibuat sebaik bukunya siap dicetak, saya terus menghantar email untuk membuat pesanan. Email itu dibalas dalam masa kurang 5 minit. Wah…saya sangka tentu orang sesibuk itu tak ada masa untuk membalas email, tapi ternyata Prof Muhd Kamil sedaya upaya membalas email pesanan dan buku ini selamat diterima minggu lepas.Saya sudah pun habis membaca buku ini sepanjang hujung minggu lepas. Saya telah membaca Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman (THMSI) pada awal tahun ini dan bagi saya Travelog Dakwah: Meniti Hari Esok (TDMHE) ini adalah kesinambungan dari THMSI. Pembaca TDMHE yang belum membaca THMSI rasanya akan berusaha untuk mendapatkan kedua-dua buku ini kerana sebahagian kisah dalam TDMHE ini pernah diceritakan dalam THMSI. Lebih puas jika membaca THMSI dahulu, dan diikuti Travelog Dakwah: Meniti Hari Esok.
Sesuatu yang pernah disebut dalam THMSI, amat-amat ditekankan kali ini oleh penulisnya, iaitu berkenaan doa. Doa yang dinyatakan dalam pelbagai bentuk sebagai pernyataan dan pengharapan seorang hamba kepada Tuhannya. Permintaan, pernyataan syukur dan segala bentuk pengaduan yang diluahkan kepada Dia yang Maha Mendengar. Dalam beberapa bahagian buku ini, perihal doa dikisahkan secara spesifik. Hampir setiap bahagian dalam buku ini dikaitkan dengan doa. Dalam THMSI, penulisnya menulis tentang doa beliau yang dipanjatkan kepadaNya secara berterusan manakala dalam TDMHE, ada bab ditulis khusus dengan tajuk ‘Doa’ dan ‘Berdoalah Sekiranya Dapat’.
Ada beberapa bahagian buku ini yang meninggalkan kesan kepada diri saya, antaranya ‘Reda’; menyedarkan bahawa setelah berusaha sehabis baik, kita harus redha dengan sebarang keputusan, pengakhiran dan sesuatu yang ditakdirkan. ‘Menyaksikan Kematian’ antara bahagian dalam buku ini yang mengharukan manakala ‘Imam Tarawih’ pula menceritakan sesuatu yang diluar dari fikiran saya yang biasa.
Secara tidak langsung saya mendapat motivasi, mungkin kerana ikhlasnya beliau menulis dan bercerita. Saya berdoa semoga penulis buku ini mendapat rahmat dan keberkatanNya, disayang Allah; sepertimana kata-kata yang ditulis beliau pada helaian pertama muka surat buku ini, kepada pembaca seperti saya yang tidak pun dikenalinya.
Thursday, December 06, 2007
Luluh
Tuesday, November 20, 2007
Tunggu Teduh Dulu

Assalammualaikum. Kali ni saya nak bercerita tentang buku ini, yang telah berada dalam genggaman saya sejak tahun 2006 lagi. Saya jujur mengakui yang buku ini ialah karya FT yang paling dekat dengan jiwa saya setakat ini. Sentiasa berada di bahagian kepala katil, supaya senang saya mencapainya. Saya bawa dan baca semasa makan, juga baca sebelum tidur. Saya telah membaca buku-buku FT yang lain, tetapi tulisan yang ini sangat terasa kesannya pada jiwa saya.
Ada beberapa bahagian dalam buku ini yang menceritakan kisah cinta tiga segi antara Kamil-Salsabila-Lam, juga bagaimana Teh Sofia yang berusaha untuk mendapatkan Kamil, dan Sazli yang meluah cinta kepada Salsabila. Pada saya, kisah cinta ini biasa saja kerana saya sememangnya jarang membaca novel cinta. Apa yang menarik ialah kesungguhan dua sahabat, Salsabila dan Teh Sofia yang bekerja kuat membangunkan ladang, dengan menempuh pelbagai rintangan. Usaha Teh Sofia untuk mendapatkan Kamil dari Salsabila tidak berjaya lantas menyebabkannya membawa diri jauh ke luar negara. Salsabila bertungkus lumus meneruskan perjuangan. Pada masa sama, ibu tirinya mengalami masalah kesihatan, juga terpaksa menghadapi karenah adik tiri. Salsabila menghadapi dilema bila Saifullah(Lam) kembali dan menuntut cinta darinya sedangkan Kamil juga menuntut jawapan darinya.
Saya paling suka membaca bahagian di mana Salsabila dan ibu tirinya menunaikan umrah, dan bagaimana dia manghadapi kematian ibunya di Mekah, dan bagaimana kuasa Allah telah menemukannya semula dengan Sazli yang sebelum itu telah melanjutkan pelajarannya ke Jerman. Kebesaran Allah memang tidak dapat dijangka, dan dia yang bertemu kembali dengan bekas pekerja ladangnya itu mendapat petunjuk bahawa Sazli adalah pilihan terbaik yang akan menjadi pemimpin hidupnya dan mereka melangsungkan pernikahan di kota Mekah. Sungguhlah Allah yang berkuasa dan menjadi pemilik hati sekalian manusia telah membalikkan hati manusia.
Salsabila meneruskan kehidupan, dengan pelbagai masalah di ladang, masalah keluarga dan adik tiri yang keluar dari pusat serenti. Ladang tanah peninggalan arwah bapanya diambil kerajaan, dan kenangan masa kecilnya bersama Kamil dan Lam di puncak bukit juga lenyap. Tiada putus asa, kerana mereka percaya Allah selalu punya rahsia dan rencana yang tidak tercapai akal manusia untuk mentafsirkannya. Mereka percaya melepaskan sesuatu yang baik, Allah akan menjanjikan sesuatu yang lebih baik. Ladang dibuka di kawasan lain, dengan beberapa cawangan dibeberapa negara. Salsabila terpaksa mengecewakan Kamil dan Lam, tetapi bahagia dengan Sazli yang beberapa tahun lebih muda darinya. Mendapat anak kembar pula, pada pengakhiran novel ini.
Saya tidak dapat menafikan ayat-ayat berkaitan motivasi diri dan keagamaan yang diselitkan FT di dalam buku ini sangat memberi inspirasi dan motivasi kepada diri saya. Inilah yang menyebabkan novel ini sangat dekat di hati saya.
"Kerja Tuhan siapa tahu?"
Monday, November 06, 2006
Tunggu Teduh Dulu

Angin boring menyapa aku hari ni..macam biasa, hari Isnin selalunya macam ni lah..dan sementara projek terbaru untuk system upgrade tengah dalam pembikinan di tangan-tangan pemilik asal dan pembangunnya, aku masih punya masa untuk menulis, membaca blog, berangan-angan, bla bla bla...bukan selalu aku dapat bersantai dari kerja ofis..:)..selalu kalau dah kerja, dan ada kerja, komitmen pada kerja mengatasi segalanya..jadi masa-masa begini aku nikmati sepenuhnya..
Sungguh membosankan bila dah biasa dengan kesibukan kerja..tambahan aku puasa jadi bertambah mandom lah rasanya..semalam puasa pun melepek jugak..macam budak kecik baru belajar puasa :). Waktu lunch tadi aku tidur sekejap..ala ala Pak Lah pulaknya..'taking a beauty nap'..hehehe
Bila terjaga dari tidur selain disebabkan suasana bising orang-orang yang dah masuk ofis lepas makan, aku dapat call..selalunya kalau dapat call tepat pukul 2 ni, aku cukup-cukup tak suka.........sebab sure nye bank yang call...maleh nak layan boleh tak? Tapi kali ini receptionist call bagitau ada courier untuk aku....yeah yeah...buku aku dah sampai...ni yang aku tunggu-tunggu dari minggu lepas..
Seronotnyeeeeeeeee.....tak sabo betul aku nak baca buku ni..aku suka dan teruja untuk membaca buku ni bila baca komen jiwarasa dalam blognya. Jadi aku terus beli..ni buku ketiga karya Faisal Tehrani yang aku ada. Yang paling aku ingat tentulah buku 1515 yang aku dapat sebagai hadiah harijadi aku 2 tahun lepas.
Buku ni tebal tapi aku pasti dapat habiskan dalam 2 hari..itupun kalau aku ketepikan segala tugasan exam+ proposal+ presentation tu....emmm..takpe takpe..malam kang aku baca sikit...Opsss...aku dah belek sikit..pada helaian pertama ada tandatangan Faisal Tehrani dengan catatan 'Selamat membaca'...wah...
ni aku amik dari catatan di belakang 'Tunggu Teduh Dulu' >>
